Press Release - Ghazal Party Queen
PRESS RELEASE
PERSEMBAHAN TEATER AMAL ‘GHAZAL PARTY QUEEN’ BAGI MENGUMPUL DANA PEMBINAAN ‘ASRAMA DONNI’ DI KIULU, SABAH
20 Januari 2010 - “Killerbatch” ANSARA Kulim dan Angkatan Karyawan Aktif Kuala Lumpur (ANGKA) akan mengadakan pementasan teater amal bertajuk “Ghazal Party Queen” pada 5 hingga 8 February 2010 bertempat di Taman Budaya, Kuala Lumpur. Teater amal tersebut adalah merupakan modul terakhir dalam usaha untuk mengumpul dana bagi mendirikan sebuah asrama bagi pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Sabah.
Killerbatch adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan bekas pelajar MRSM Kulim, Kedah yang belajar di kolej itu pada tahun 1979 – 1983. Program yang mula dilancarkan bersempena ulangtahun ke 30 “Killerbatch” pada Februari tahun lalu telah berjaya mengumpulkan sejumlah RM244,000 melalui pelbagai program yang diadakan sepanjang tahun. Melalui persembahan teater amal “Ghazal Party Queen” ini diharap akan melengkapkan jumlah dana yang diperlukan iaitu sebanyak RM251,400.00 bagi mendirikan asrama yang dinamakan Asrama Donni itu.
Raja Ali Raja Othman yang merupakan Presiden ANSARA Kulim berkata, “Apabila siap kelak, Asrama Donni akan dapat menampung seramai 110 orang pelajar SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, Sabah dan mereka tidak lagi perlu berjalan selama 2 hingga 3 jam untuk kesekolah, melalui laluan hutan dan meredah sungai”. Beliau yang akan turut serta sebagai pelakun dalam teater amal ini berharap agar orang ramai memberikan sokongan kepada Killerbatch dengan membeli tiket pementasan pada tarikh yang disebutkan. “Kami juga berharap akan ada syarikat koporat yang sudi untuk menaja pementasan ini bagi memastikan dana yang diperlukan akan mencukupi”, tambah beliau.
Teater amal “Ghazal Party Queen” ini telah memenangi Anugerah Cameronian untuk Skrip Asal Terbaik (Best Original Script) pada tahun 2004 di mana teater ini telah dipentaskan buat pertama kali. Ghazal Parti merupakan satu budaya hiburan yang popular di utara tanah air sekitar tahun 50an hingga 70an. Skripnya yang ditulis oleh seorang anggota Killerbatch, Mohd Rodzi, merupakan kisah benar suka duka kehidupan seorang bekas seorang penari ghazal party. Pada kali ini, 8 orang anggota Killerbatch turut sama berlakon dalam pelbagai watak bersama- sama dengan gabungan Angkatan Karyawan Aktif Kuala Lumpur dan bekas artis-artis residen Petronas.
Turut sama membuat penampilan khas ialah penyanyi Aishah (Aishah & the Fan Club). Ini dijangka akan menjadikan teater ini suatu produksi yang menarik dan menghiburkan berdasarkan latar belakang pelakunnya yang pelbagai. Pementasan teater amal ini akan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada 8 Februari dan dinamakan sebagai Malam Panggung Ansara.
Keseluruhan tiket pada malam tersebut telah ditempah sepenuhnya oleh Gabungan ANSARA seluruh Malaysia yang diterajui oleh Datuk Mukhriz sendiri. Manakala pada 6 Februari, pementasan ini dikhaskan kepada ahli-ahli Killerbatch sebagai sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke 31 mereka. Orang ramai boleh menyaksikan persembahan teater ini pada malam 5 dan 7 Februari dimana tiket-tiket berharga RM20 dan RM30 sudah mula dijual.
Selain daripada pementasan teater “Ghazal Party Queen” ini, Killerbatch telah melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lalu bagi tujuan mengumpul dana bagi pembinaan Asrama Donni. Hasilnya, sebanyak RM130,000 telah berjaya dikumpulkan daripada keuntungan jualan seni lukisan yang diadakan pada September lalu dengan kerjasama Galeri Chandan Bukit Damansara. Sebanyak RM50,000 pula telah diperolehi hasil kejayaan Killerbatch melalui wakilnya Nur Hamidi Baharuddin mendapat tempat pertama dalam peraduan Chief Talker yang disumbangkan oleh syarikat pengendali talian prabayar Tune Talk Sdn Bhd.
Asrama Donni yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Februari 2010 telah mendapat suntikan dana tambahan sebanyak RM70,000 sumbangan Yayasan CIMB bagi tujuan pembelian peralatan dan kelengkapan asrama seperti katil, almari, tilam, bantal dan seumpamanya. Killerbatch berharap dapat mengumpulkan dana tambahan sekitar RM30,000 daripada hasil jualan tiket teater “Ghazal Party Queen” ini.
Asrama Donni dibina dengan kerjasama antara Killerbatch dengan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dimana Killerbatch bertanggungjawab bagi pengumpulan dana manakala PPS menyelaras dan menyelenggara pembinaan asrama. Kisah Donni John Duin, seorang pelajar tahun 5 SK Kinarut, Sabah yang telah menggantung diri pada tahun 2007 akibat tekanan kemiskinan, telah menjadi motivasi kepada Killerbatch untuk melakukan sesuatu bagi membantu meringankan bebanan golongan pelajar yang kurang berkemampuan. Oleh itu asrama yang akan di dirikan di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu Sabah ini akan dinamakan dengan Asrama Donni, bagi dijadikan peringatan kepada masyarakat agar tragedi yang sama tidak berulang.
For more information, please call Kamaruddin at 019-2233072.
- End of release -
| Attachment | Size |
|---|---|
| Ghazal Party Queen - Promotional Leaflet | 1.12 MB |













Comments
Re: Press Release - Ghazal Party Queen
Hello, where can we purchase the ticket? is booking required or we can just purchase ticket on site?
Re: Press Release - Ghazal Party Queen
Hi There, thanks very much for visiting killerbatch.org . To book a seat, you can contact Zali at 012-3691096 atau Waty 013-3405299 from ANGKA KL. Ticket prices are RM20.00 and RM30.00 . Try your best to make it there, and enjoy the show.
Cheers and take care.