Kulim to Kiulu Featured in today's (14/7/09) Utusan - Mega pullout

Tune Talk lahirkan generasi muda yang prihatin

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Calon finalis Chief Talker yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 untuk tujuan kerja-kerja kebajikan.

DUA tahun lalu, seorang murid tahun lima di pedalaman Sabah nekad mengambil nyawanya sendiri demi meringankan bebanan kedaifan keluarga dan menyelamatkan nyawa ibu yang sedang sakit.

Kisah Donni John Duin, murid Sekolah Kebangsaan Kinarut, Papar itu bukan sahaja membuka mata masyarakat terhadap masa depan generasi mudanya yang semakin kelam, malah membongkar realiti kepayahan hidup murid-murid seperti Donni.

Atas naluri kemanusiaan, sekumpulan bekas pelajar yang dahulunya juga miskin dan pernah berkongsi keperitan hidup dengan murid malang seperti Donni, menjayakan inisiatif tersendiri yang mampu mengubah masa depan mereka.

Justeru itu, ahli perniagaan, Nur Hamidi Baharuddin bersama bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah mencetuskan projek Kulim ke Kiulu yang dikenali sebagai Killerbatch untuk misi mengumpul RM250,000 bagi membina bangunan asrama untuk pelajar daif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di Kiulu, Tamparuli, Sabah.

Setakat ini, deposit sejumlah RM57,426 telah diserahkan kepada Sabah Credit Corporation (SCC) yang memantau dan mengaturkan pembinaan asrama tersebut di Sabah.

"Kami berharap dapat mengumpul wang selebihnya dalam tempoh lima bulan sehingga Oktober depan agar kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini dan pelajar boleh menggunakan asrama itu pada semester baru tahun depan," katanya.

Projek Kulim ke Kiulu sedang mendahului di tangga pertama sebagai antara calon yang bersaing bagi merebut gelaran Chief Talker menerusi freefom2talk.org anjuran Tune Talk.

Bersaing rapat adalah Tim Fernandez, yang menjemput aktivis sosial dan pengasas Institut Gesundheit!, Dr. Hunter Campbell Adams atau lebih dikenali sebagai Patch Adams ke Malaysia sempena konvensyen Live & Inspire di Pusat Konvensyen Sunway, Oktober depan.

Kata Tim, pada konvensyen itu sebanyak lima anugerah akan diberikan mengikut kategori belia, kemanusiaan, sukan, berkumpulan dan selebriti kepada individu yang mencetuskan inspirasi di kalangan generasi masa kini.

Poesy Liang yang mengekori di tempat ketiga pula berhasrat untuk mengagih-agihkan hadiah wang tunai (jika berjaya) untuk beberapa tujuan seperti kelas tuisyen, menyumbang kelengkapan sekolah dan menanggung yuran pembelajaran di institut pengajian tinggi untuk pelajar miskin.

Beliau merupakan pengasas Helping Angles, jaringan sukarelawan secara online dengan lebih 1,000 ahli aktif di seluruh dunia.

Peserta lain yang turut hadir pada majlis itu adalah Mohammad Danial dengan Malaysia Manga di tempat kelapan, Michael Teoh (Building Young Entrepreneurs, ke-11) dan Jason Ramesh (Paintball Maniacs for Life, ke-12)

Sehingga kini, lebih 60 calon telah mendaftarkan diri dan bersaing bagi merebut gelaran Chief Talker serta memenangi wang tunai RM50,000 untuk disumbangkan kepada projek kebajikan yang mereka terajui.

Uniknya, kempen ini dilakukan secara online menerusi blog, e-mel, jaringan sosial seperti Facebook, MySpace, Friendster, Twitter dan perkongsian video menerusi YouTube bagi menarik para pengundi.

Program anjuran Tune Talk Sdn. Bhd. itu bertujuan mencari Chief Talker yang akan dilantik menerusi undian ahli berdaftar di laman portal freedom2talk.org.

Pada masa sama, ahli berdaftar juga boleh memenangi RM10,000 hanya dengan mengajak seramai mungkin rakan-rakan untuk mendaftarkan diri. Pemenang berpeluang memenangi waktu berbual Tune Talk percuma selama setahun.

__________________

- Man Ghal